Sekatan-sekatan terhadap Kebebasan Bersuara Kebebasan Bersuara di Malaysia

Walaubagaimanapun, kebebasan bercakap dan bersuara adalah perlu diberi kawalan yang munasabah. Jikalau ia tidak dikawal selia dengan baik, maka kemungkinan akan berlakunya kekecohan dalam sesebuah negara dan masyarakat.

Dalam situasi Malaysia yang mana masyarakatnya adalah terdiri daripada agama, kaum serta bangsa yang majmuk. Maka, kerajaan perlu cermat dalam menangani hak-hak bersuara terutamanya ucapan yang melibatkan hal-hal agama dan perkauman. Sejak kebelakangan ini, ucapan yang berunsurkan kebencian terhadap kerajaan, kaum serta kaum lain semakin meningkat[14]. Ahli-ahli politik juga mengambil kesempatan ini dengan menggunakan taktik perkauman dan menyebarkan maklumat palsu demi memastikan mereka masih berpegang pada kuasa. Contohnya, dalam isu pergaduhan di Plaza Low Yat yang hanya disebabkan oleh kecurian telefon oleh seorang pemuda akhirnya diperbesarkan sehingga mencetuskan pergaduhan antara kaum Melayu dan kaum Cina yang majoriti merupakan peniaga di sana. Bukan itu sahaja, isu “Kalimah Allah” juga telah mencetuskan ketidakpuashati antara penganut Islam dengan penganut Kristian.

Peristiwa-peristiwa ini harus diambil perhatian oleh kerajaan bagi mengelakkan berulang sejarah hitam yang pernah berlaku di Malaysia, iaitu peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan patut memberi perhatian yang lebih dalam isu-isu yang sebegini supaya sebarang perselisihan faham dapat dimeterai dan diselesaikan. Kemajuan dan perkembangan sesebuah negara adalah bergantung kepada perpaduan yang dicapai antara rakyat jelitanya dalam sesebuah negara itu.

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum. Kehidupan yang harmoni antara kaum-kaum yang berbeza adalah penting demi kemajuan negara. Oleh itu, perasaan setiap kaum perlu dijaga. Perkataan-perkataan yang akan menyinggung perasaan perlu dielakkan bagi tujuan menjaga keamanan masyarakat. Justeru, sekatan-sekatan telah dikenakan ke atas kebebasan bersuara bagi memelihara ketenteraman awam. Dalam kes Chai Choon Hon lwn Ketua Polis Daerah, Kampar dan Kerajaan Malaysia[15] , Mahkamah mendapati syarat yang diminta oleh pihak polis adalah tidak bermunasabah. Oleh itu, boleh dikatakan sekatan yang dikenakan dikehendaki mempersoalkan kemunasabahannya. Antara sekatan yang dikuatkuasa ialah seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan) 1958 (Semakan 1983), Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (semakan 1988) telah diwujud bagi mengehadkan skop kebebasan bercakap seseorang warganegara. Jadual berikut menunjukkan Undang-undang yang menyekat hak bersuara di Malaysia.